Kesembuhan Hanya Daripada Allah

Archive for April, 2011

Pelancaran Buku Siri Pengajian Pengubatan Islam

Pelancaran Buku Siri Pengajian Pengubatan Islam pada Isnin,

25-April-2011 Jam 6:30 Ptg.

 

 

Buku teks yang pertama digunakan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din untuk Kuliah Pengubatan Islam di Daussyifa’ diterbitkan pada tahun 1987. Buku tersebut berjudul “Sebahagian Daripada Rawatan Pesakit Menurut Al-Quran Dan As-Sunah”. Buku ini ditulis bersama dengan Dr. Amran Kasimin. Buku ini diterbitkan dan dicetak oleh Percetakan Watan Sdn. Bhd..

Sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1997, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din bersama-sama dengan Dr. Amran Kasimin telah menerbitkan buku teks yang baru. Buku ini diterbitkan sebanyak dua jilid yang berjudul “Doa & Rawatan Penyakit (I) dan Doa & Rawatan Penyakit (II)”. Buku ini juga diterbitkan dan dicetak oleh Percetakan Watan Sdn. Bhd.. Buku ini telah digunakan di Darussyifa’ sebagai teks kuliah pengubatan sejak tahun 1997 hingga 2009.

Pada 5-Julai-2008, Unit Penerbitan Darussyifa’ telah ditubuhkan secara rasminya. Tujuan utama penubuhannya ialah untuk membantu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menyusun buku-buku yang berkaitan dengan rawatan Islam. Ketika ditubuhkan Unit Penerbitan mempunyai 12 orang ahli, kemudian pada pertengahan tahun 2009 keahlian telah bertambah menjadi 30 orang.

Sejak Unit Penerbitan ditubuhkan kerja-kerja membantu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron dalam menerbitkan buku karangan beliau dimulakan. Buku pertama yang telah berjaya diterbitkan sendiri oleh Darussyifa’ ialah buku yang berjudul “Menjawab Persoalan Makhluk Halus – Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan”. Kemudian tumpuan diberikan dalam menerbitkan buku teks baru untuk digunakan dalam kuliah pengubatan Islam di Darussyifa’. Buku teks baru ini dinamakan “Siri Pengajian Pengubatan Islam”. Buku ini dibahagikan kepada 5 jilid seperti berikut;

  1. Jilid 1: Pengantar Pengubatan Islam
  2. Jilid 2: Rawatan Penyakit Jasmani (I)
  3. Jilid 3: Rawatan Penyakit Jasmani (II)
  4. Jilid 4: Rawatan Penyakit Rohani
  5. Jilid 5: Rawatan Penyakit Akibat Sihir

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din berhasrat agar buku teks baru ini boleh digunakan oleh pelajar Darussyifa’ Kumpulan 22 (Sesi 2009/2010). Memandangkan masa yang agak suntuk, pihak Unit Penerbitan hanya dapat menyiapkan Edisi Rintis sahaja untuk tujuan kuliah pengubatan kumpulan 22. Edisi Rintis yang diterbitkan ini tidak disemak dengan teliti pada perkataan, ejaan dan tanda-tanda baris pada hadith dan doa. Justeru itu Edisi Rintis ini mungkin banyak kesilapan ejaan dan tidak boleh diedarkan kepada umum. Edisi Rintis hanya diterbitkan untuk tujuan kuliah pengubatan dan perlu bimbingan daripada guru yang mengajar.

Edisi Rintis untuk Jilid-1 hingga Jilid-5 diterbitkan berperingkat-peringkat dan siap dicetak seperti berikut;

  1. Jilid 1 Edisi Rintis: Siap pada 8-Jan-2010
  2. Jilid 2 Edisi Rintis: Siap pada 7-Feb-2010
  3. Jilid 3 Edisi Rintis: Siap pada 5-Jun-2010
  4. Jilid 4 Edisi Rintis: Siap pada 15-Okt-2010
  5. Jilid 5 Edisi Rintis: Siap pada 17-Dis-2010

Setelah kelima-lima jilid edisi rintis diterbitkan, buku ini telah disemak dengan teliti dan disusun semula. Banyak pembaharuan yang telah dibuat termasuk ditukar gambar kulitnya. Buku yang telah disemak semula ini boleh dijual untuk pasaran umum. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din sangat berpuas hati dengan buku ini dan insya-Allah akan dilancarkan pada hari Isnin 25-April-2011 jam 6:30 petang di Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.

Buku ini boleh dibeli setelah dilancarkan pada 25-April-2011. Harga senaskah buku ini ialah RM20.00, bagaimanapun harga yang dijual di Koperasi Darussyifa’ Bandar Baru Bangi ialah RM18.00 senaskah atau RM90 untuk kelima-lima jilid.

 Jazakumullah

 Mohd Sopian Omar

PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENGUBATAN ISLAM MALAYSIA

( DARUSSYIFA )

ASAS PENGUBATAN DARUSSYIFA’


Perkembangan ilmu pengetahuan akan terus maju menurut perkembangan daya fikir manusia.  Di Malaysia, amalan merawat pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis, contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang digunakan oleh para anbiya’ adalah merupakan satu bidang yang masih agak baru. Usaha untuk mengatur segala bentuk rawatan pesakit melalui cara ini dalam satu kaedah yang jelas, teratur dan dapat dimanfaatkan boleh dikatakan amat berkurangan biar pun memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai para pengamal perubatan Melayu tradisional yang menyumbangkan tenaga mereka dengan menggunakan kaedah ini.

Perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya Darussyifa’ hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa’ ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya.  Memang terdapat beberapa rangkaian kata Melayu yang digunakan dalam kaedah ini, tetapi penggunaan rangkaian kata yang dapat difahami maknanya serta tidak mengandungi ungkapan kata yang menyalahi hukum yang diharamkan Allah di samping tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik. Semua yang diamalkan ini adalan tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Pada hakikatnya, usaha membongkar kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah untuk tujuan rawatan penyakit, adalah masih di peringkat awal. la memerlukan keikhlasan, minat, pengamatan yang serius serta ketabahan yang berterusan.  Kejayaan usaha seumpama ini adalah bergantung kepada usaha-usaha yang dijelaskan diatas.

Pendedahan kandungan al-Quran, contoh-contoh sunnah Rasulullah dan doa-doa yang dijelaskan yang berkaitan dengan sumber wahyu dan sejarah Islam boleh memberi satu kesedaran yang agong kepada umat Islam untuk mengkagumi dan menghargai betapa besamya peranan Kitab Allah yang selama ini menjadi panduan dalam kehidupan seseorang.  Kesedaran ini boleh menjadikan seseorang itu menyedari keesaan Allah.  Semuanya ini adalah di antara jalan utama dalam tujuan memperkuatkan iman seseorang terhadap Allah s.w.t.

Pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat seperti yang dijelaskan di atas bukanlah merupakan satu amalan baru di kalangan umat Islam biarpun ramai orang yang masih meragui kesahihannya.  Keraguan itu timbul ialah kerana kurangnya pemahaman terhadap sejarah ilmu perubatan dan al-Quran sendiri.  Sebagai contoh, al-Quran mengulangi beberapa kali ungkapan yang membawa makna kesembuhan penyakit. Antaranya (Surah al-Isra’:82).

Mahfumnya: Dan Kami turunkan di atas (isi) al-Quran, sesuatu yang boleh menyembuhkan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Di dalam al-Quran terdapat enam ayat yang menyentuh penggunaan perkataan yang membawa makna kesembuhan.  Ayat-ayat itu dikenali sebagai ” Ayat Ash-Syifa’ “. (Sila rujuk al-Quran, At-Taubah:14, Yunus:57, Al-Nahl:69, Al-Israa’:82, Asy-Syu’araa’:80 dan Fussilat:44)

 

Sehubungan dengan ini pernah berlaku suatu kisah, di mana seorang Sahabat Nabi mengalami sejenis penyakit yang sudah puas diubati dengan berbagai cara perubatan, tetapi tidak juga sembuh.  Pada suatu hari pesakit itu telah diziarahi oleh seorang temannya.  Pesakit tersebut mengadu halnya yang telah puas berikhtiar tetapi masih belum disembuhkan Allah.  Teman tersebut bertanya sama ada dia telah membaca ” Ayat Ash-Syifa’ ” . Pesakit itu mengatakan belum, lalu teman tadi pun membaca ” Ayat Ash-Syifa’ ” yang akhirnya dengan izin Allah s.w.t. ia pun sembuh.

Ulama-ulama terdahulu telah banyak membicarakan tentang rawatan secara ini dan mengumpulkannya dalam beberapa buah buku yang terkenal antaranya: At-Tibbu ‘n-Nabawi, At-Tibb wa ‘r-Rahmah, Zadu ‘l Ma’ad fi Hadyi Khairi ‘l-‘Ibad dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan Alupathy (perubatan moden seperti di hospital) buat masa kini merupakan suatu pilihan utama manusia moden untuk ikhtiar menyembuhkan penyakit. Hospital-hospital dan klinik-klinik yang dilengkapkan dengan segala kemudahan dan kepakaran menjadikan tempat-tempat ini tumpuan utama.  Akan tetapi suatu hal yang amat nyata bahawa tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan cara tersebut.  Masih banyak penyakit yang masih belum dapat ditemui ubatnya oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan dengan cara moden, pesakit akan berusaha mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi.  Oleh itu peluang perlu disediakan agar pesakit-pesakit itu tidak putus asa dalam usaha mencari kesembuhan.

Kaedah pengubatan yang diusahakan di Darussyifa’ ini tidak sekali-kali bermaksud untuk mengambil alih tugas yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital atau di klinik-klinik. la adalah merupakan satu rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar setelah pesakit-pesakit berusaha melalui cara perubatan tersebut, tetapi belum lagi disembuhkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya sesuatu penyakit terjadi, kita memang menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa, iaitu di hospital-hospital atau di klinik-klinik.  Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berjaya, maka barulah pengubatan cara ini perlu dikhtiarkan.

Apa yang diusahakan di Darussyifa’ ini adalah sebahagian kecil dari ilmu yang sangat luas yang telah lama diamalkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Hanya Allah s.w.t. sahaja yang maha sempurna lagi maha benar manakala yang salah dan silap itu adalah dari insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan.  Kepada Allah kita memohon rahmat dan berkat semoga Allah sentiasa mengabulkan usaha kita semua dan menjadikan amalan kita yang tidak seberapa ini sebagai amalan yang soleh.

Sekian.

Wassalam.

Salam hormat dari saya,

Dato’ Dr. Haron Din

PESANAN TUAN GURU

Pra Syarat Sebagai Perawat


(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Hendaklah memiliki 6 sifat seperti yang disebut dalam Syair Imam Shafie iaitu;

i.
Kecerdikan – Boleh memahami ilmu yang dipelajari, boleh menghafal doa-doa dan bukanlah seorang yang benak.
ii. Sensitiviti kepada Ilmu – Suka dan berminat mempelajari ilmu dan boleh memelihara (menyimpan) ilmu dan menjaga amanah ilmu dengan baik.
iii. Mempunyai Pendapatan – Mempunyai wang, harta dan bukan orang yang miskin.
iv. Mempunyai kesungguhan – bersungguh-sunguh dan berterusan dalam belajar ilmu pengubatan bukan sambil lewa sahaja.
v. Rakan seperguruan adalah saudara kita – Jangan ada cemburu-mencemburui, benci membenci sebaliknya tanamkanlah sifat hormat-menghormati dan kasih sayang.
vi. Memerlukan masa – iaitu hendaklah sentiasa bersabar dalam menuntut ilmu dan berubat kerana masa penantian yang panjang.

2. Hendaklah memberhentikan segala bentuk amalan pengubatan yang bercanggah dengan syariat Islam seperti penggunaaan tangkal (walaupun tangkal itu menggunakan ayat-ayat al-Quran), ilmu pengasih, ilmu penunduk dan seumpamanya.

3. Jangan melibatkan diri dengan Ilmu Tariqat atau kebatinan yang ada keraguan terhadapnya seperti Ahmadiah, Martabat-7, Qadiani dan seumpamanya, kalau dah sertai hendaklah ditinggalkan dengan segera.

4. Hendaklan meletakkan diri kita mampu dan boleh untuk berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran.

Syarat-syarat Utama Menjadi Perawat yang Baik

(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Iltizam dengan Ilmu Pengubatan yang dipelajari – iaitu dengan sentiasa beramal dan berdamping dengannya setiap hari.

2. Mempraktikkan ilmu pengubatan yang telah dipelajari, selalu memberikan khidmat sukarela di klinik-klinik darussyifa’ dengan memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan bantuan.

3. Jangan campur adukkan ilmu yang diharuskan dengan ilmu yang dilarang iaitu jangan berbohong atau menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul ketika merawat umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau perbuatan khianat oleh orang tertentu.

4. Ada keyakinan pada diri sendiri dan ikhlas bahawa ilmu yang disampaikan oleh guru adalah benar dan tidak meyalahi syarak.

5. Tidak boleh melangkah larangan atau etika yang telah ditetapkan oleh Darussyifa’ contohnya tidak boleh menetapkan bayaran kepada pesakit.

6. Hendaklah setiasa berdisiplin dalam semua hal seperti dalam pengubatan, kehidupan, beribadat, berzikir dan seumpamanya.

7. Bersungguh-sungguh dalam mengubat, berubat dan mencari kesembuhan.

10 Perinsip Asas Rawatan Islam

(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Ada penyakit , ada ubat.

2. Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.

3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta’ala.

4. Manusia boleh berusaha, insya’ Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta’ala akan sembuhkan.

5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.

6. Doa’-doa’ dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.

7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa’, telah diijmakkan harus oleh para ulama’, malah digalakkan dengan          tiga syarat;

     i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta’ala sahaja yang akan menyembuhkan.

8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)

9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.

10. Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta’ala akan menyembuhkan.

Pengijazahan

Ini adalah intipati daripada ucapan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada majlis Pengijazahan Pelajar Pengubatan Islam Darussyifa’ kumpulan ke-17.

1. Kita semua manusia biasa yang serba kekurangan, kesempurnaan hanya milik Allah SWT, Tuan Guru mempunyai kekurangan begitu juga anak murid mempunyai kekurangan masing-masing. Justeru itu sebagai rakan seperguruan hendaklah saling tampung menampung kelemahan dan kekurangan rakan seperguruan yang lain. Kelemahan rakan jangan sekali-kali dibongkar atau dibesar-besarkan. Kalau rakan tersilap memberi ubat atau rawatan hendaklah kita cuba menutup kesilapan itu dihadapan pesakit dengan cara yang hikmah, jangan sampai mengaibkan rakan.

2. Berlajar ilmu pengubatan perlu mendapatkan ijazah dari guru kerana itu adalah warisan yang diterima oleh Tuan Guru daripada semua gurunya termasuk daripada ayahandanya sendiri. Sebagai mengambil contoh Imam As-Shafie juga ketika berguru dengan Imam Waqi’ mendapatkan ijazah daripada gurunya setelah tamat belajar. Ketika Imam As-Shafie belajar dengan Imam Malik, dia tidak dibenarkan memberi fatwa oleh Imam Malik sehingga ia diijazahkan. Justeru itu kesimpulannya tidak cukuplah belajar ilmu pengubatan hanya dengan membaca buku sahaja.


Assalamualaikum

Assalamualaikum w.b.r.

Selamat Datang Ke Laman Darussyifa’ Kedah.