Kesembuhan Hanya Daripada Allah

Pelancaran Buku Siri Pengajian Pengubatan Islam pada Isnin,

25-April-2011 Jam 6:30 Ptg.

 

 

Buku teks yang pertama digunakan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din untuk Kuliah Pengubatan Islam di Daussyifa’ diterbitkan pada tahun 1987. Buku tersebut berjudul “Sebahagian Daripada Rawatan Pesakit Menurut Al-Quran Dan As-Sunah”. Buku ini ditulis bersama dengan Dr. Amran Kasimin. Buku ini diterbitkan dan dicetak oleh Percetakan Watan Sdn. Bhd..

Sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1997, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din bersama-sama dengan Dr. Amran Kasimin telah menerbitkan buku teks yang baru. Buku ini diterbitkan sebanyak dua jilid yang berjudul “Doa & Rawatan Penyakit (I) dan Doa & Rawatan Penyakit (II)”. Buku ini juga diterbitkan dan dicetak oleh Percetakan Watan Sdn. Bhd.. Buku ini telah digunakan di Darussyifa’ sebagai teks kuliah pengubatan sejak tahun 1997 hingga 2009.

Pada 5-Julai-2008, Unit Penerbitan Darussyifa’ telah ditubuhkan secara rasminya. Tujuan utama penubuhannya ialah untuk membantu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menyusun buku-buku yang berkaitan dengan rawatan Islam. Ketika ditubuhkan Unit Penerbitan mempunyai 12 orang ahli, kemudian pada pertengahan tahun 2009 keahlian telah bertambah menjadi 30 orang.

Sejak Unit Penerbitan ditubuhkan kerja-kerja membantu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron dalam menerbitkan buku karangan beliau dimulakan. Buku pertama yang telah berjaya diterbitkan sendiri oleh Darussyifa’ ialah buku yang berjudul “Menjawab Persoalan Makhluk Halus – Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan”. Kemudian tumpuan diberikan dalam menerbitkan buku teks baru untuk digunakan dalam kuliah pengubatan Islam di Darussyifa’. Buku teks baru ini dinamakan “Siri Pengajian Pengubatan Islam”. Buku ini dibahagikan kepada 5 jilid seperti berikut;

  1. Jilid 1: Pengantar Pengubatan Islam
  2. Jilid 2: Rawatan Penyakit Jasmani (I)
  3. Jilid 3: Rawatan Penyakit Jasmani (II)
  4. Jilid 4: Rawatan Penyakit Rohani
  5. Jilid 5: Rawatan Penyakit Akibat Sihir

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din berhasrat agar buku teks baru ini boleh digunakan oleh pelajar Darussyifa’ Kumpulan 22 (Sesi 2009/2010). Memandangkan masa yang agak suntuk, pihak Unit Penerbitan hanya dapat menyiapkan Edisi Rintis sahaja untuk tujuan kuliah pengubatan kumpulan 22. Edisi Rintis yang diterbitkan ini tidak disemak dengan teliti pada perkataan, ejaan dan tanda-tanda baris pada hadith dan doa. Justeru itu Edisi Rintis ini mungkin banyak kesilapan ejaan dan tidak boleh diedarkan kepada umum. Edisi Rintis hanya diterbitkan untuk tujuan kuliah pengubatan dan perlu bimbingan daripada guru yang mengajar.

Edisi Rintis untuk Jilid-1 hingga Jilid-5 diterbitkan berperingkat-peringkat dan siap dicetak seperti berikut;

  1. Jilid 1 Edisi Rintis: Siap pada 8-Jan-2010
  2. Jilid 2 Edisi Rintis: Siap pada 7-Feb-2010
  3. Jilid 3 Edisi Rintis: Siap pada 5-Jun-2010
  4. Jilid 4 Edisi Rintis: Siap pada 15-Okt-2010
  5. Jilid 5 Edisi Rintis: Siap pada 17-Dis-2010

Setelah kelima-lima jilid edisi rintis diterbitkan, buku ini telah disemak dengan teliti dan disusun semula. Banyak pembaharuan yang telah dibuat termasuk ditukar gambar kulitnya. Buku yang telah disemak semula ini boleh dijual untuk pasaran umum. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din sangat berpuas hati dengan buku ini dan insya-Allah akan dilancarkan pada hari Isnin 25-April-2011 jam 6:30 petang di Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.

Buku ini boleh dibeli setelah dilancarkan pada 25-April-2011. Harga senaskah buku ini ialah RM20.00, bagaimanapun harga yang dijual di Koperasi Darussyifa’ Bandar Baru Bangi ialah RM18.00 senaskah atau RM90 untuk kelima-lima jilid.

 Jazakumullah

 Mohd Sopian Omar

PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENGUBATAN ISLAM MALAYSIA

( DARUSSYIFA )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: